Tuesday, January 5, 2010

Native Deen Sebar Mesej Dakwah

Alhamdulillah. Bersua lagi kita di tahun baru. Belum terlewat rasanya untuk ana ucapkan selamat tahun baru, Maal Hijrah 1431 bersamaan 2010 Masihi. Syukur masih dipanjangkan usia hingga ke saat ini.

Seusai pulang dari kampus tengah hari tadi, telinga ini menangkap suatu muzik rancak seakan hip hop dari tingkat atas. Ditambah pula dengan speaker altec lansing yang dipasang menambahkan lagi kesan bunyinya. Rancak! Itu yang dapat kukatakan.

Teliti punya teliti, rupanya muzik tadi merupakan sebuah lagu nasyid dari Native Deen. Kenalkah sahabat pada kumpulan ini? Mungkin kepada peminat nasyid tempatan kita selalu dihiburkan dengan kumpulan inteam, Hijjaz, Raihan dan banyak lagi kumpulan nasyid yang makin tumbuh seakan cendawan tumbuh selepas hujan saat ini. Tapi bagi masyarakat muslim Amerika, inilah dia hiburan alternatif mereka.



Irama nasyid Native Deen telah pun menjadi halwa telinga bagi masyarakat muslim di Amerika. Kumpulan ini yang dianggotai ol
eh tiga orang anak muda, Joshua Salaam, Naeem Muhammad dan Abdul Malik Ahmad sering dijemput untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah mereka melalui nasyid yang didendangkan.

Genre muzik mereka adalah hip-hop dengan disertai lirik-lirik yang menyentuh kehidupan seorang yang bergelar muslim di Amerika yang sering berdepan cabaran yang pelbagai dalam kehidupan mereka. Umum sedia maklum, keperitan menjaga iman dalam kalangan komuniti yang rata-ratanya bukan Islam. Satu mesej yang amat besar sebenarnya telah dibawakan oleh kumpulan ini.



Lagu Intention dan Paradise adalah antara lagu popular yang sebenarnya membawa mesej Islam untuk dihayati bersama. Mulanya agak kurang jelas apa yang disebutkan oleh penyanyi kumpulan ini mungkin faktor sebutan Inggeris ala Amerika yang agak berlainan. Tapi bila diamati, benar! Ada sesuatu yang sememangnya nasihat dan mesej yang berguna yang bertepatan dengan hadis nabi dibawakan.

Umpamanya, mengambil contoh dari lagu Small Deeds yang mengajak para pendengar dan masyarakat muslim supaya menghayati amalan yang baik walaupun amalan itu dipandang ringan dan kecil di mata manusia namun besar di sisiNya. Sebagai contoh, membuang duri atau apa sahaja yang menghalang laluan di jalanan dikira sedekah.

"Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya, dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah Mengampunkannya" [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].

Sememangnya semangat dakwah yang ditunjukkan oleh Native Deen melalui lagunya amatlah dikagumi. Moga kumpulan ini terus ikhlas dan istiqamah dalam menyampaikan mesej yang amat baik ini. Walau disampai dalam bentuk hip-hop namun mesejnya jelas ke arah mengembalikan generasi muda Islam ke landasanNya. Hiburan nasyid mendidik jiwa!

1 comment:

  1. salam perkenalan buat akhi amir sufi..
    saya terjumpa blog ini ketika dok jenjalan kat
    blog kak anis syahirah td..
    ade masa lawat la saya punya jugak ye..
    http://akuastronaut.blogspot.com

    ReplyDelete