Friday, January 29, 2010

Buat Sahabat Kepimpinan Sekalian


Seminggu sudah berlalu pilihan raya kampus di Usim. Kepada sahabat-sahabat yang baru mendapat mandat kepimpinan pada tenure kali ini dirakamkan ucapan tahniah dan kepada mereka yang kurang bernasib baik jangan putus asa kerana sahabat sekalian sudah berusaha sebaiknya. Kemenangan dan kekalahan lumrah dalam kehidupan.

Sahabat-sahabat sekalian. Sekarang bukan soal untuk bermegah-megah dengan kemenangan mahupun berdukacita dengan kekalahan namun pandanglah ke depan sahabat-sahabat sekalian. Amanah yang diletakkan di pundakmu saat ini. Bagaimana hendak menguruskannya? Ini yang harus dipersoalkan.

Amanah merupakan sesuatu yang berat. Usah fikir soal populariti memegang jawatan. Usah fikir soal duit yang ditaburkan. Usah fikir soal kedudukan dan sebagainya namun fikir soal perubahan yang dicanangkan. Soal perubahan merupakan pokok perbincangan. Inilah masanya untuk memaksudkan perubahan yang sering dilaung-laungkan itu. Fikir strategi canangan perubahan yang bakal dibawa pada tenure kali ini. Pelajari tiap kekurangan yang berlaku pada sesi yang lalu iktibarkan pada sesi kali ini.

Sahabat sekalian. Angin perubahan sudah mula bertiup kencang di Usim. Buktinya, saatnya semasa Kuasa Perubahan Al-Fateh tempoh hari, turut disusuli Wacana Istinba': Isu kalimah Allah yang menyaksikan mahasiswa mulai 'berubah'. Perubahan dari sudut cara fikir dan tindakan mahasiswa itu sendiri. Kelihatan program berbentuk perbincangan ilmiah dan akademik makin bertapak di Usim. Alhamdulillah. Satu petanda baik sebenarnya. Mahasiswa sudah 'celik' akan peranan mereka sebagai agen perubahan.

Jadi, peranan sahabat kepimpinan sekalian, pasakkan seutuhnya 'perubahan' dalam minda setiap mahasiswa dan mahasiswi di Usim ini. Terus berjuang di lapangan antum berada saat ini. Antum ta'lamuna biumuri dunyakum. Gunakan platform ini sebaiknya. Maksudkan setiap perubahan yang ingin dibawa. Kami sentiasa menyokong apa jua yang kalian hasratkan.

Sirru a'la himamil a'liyah....


Saturday, January 16, 2010

Mahasiswa Perlu Berubah!

Berubah. Sana sini orang bicara soal perubahan. Mahasiswa perlu berubah. Berubah dari sudut mentaliti, cara fikir dan keilmuan. Tapi jangan pula berubah sehingga soal prinsip digadaikan. Prinsip harus tetap (thabat) tanpa kompromi. Perihal perubahan ini merupakan suatu yang sukar. Memetik kata Ustaz Hasrizal, "ada sesuatu yang lebih susah daripada susah, iaitu berubah. Sehingga ada orang yang lebih selesa untuk hidup susah tanpa membuat tindakan untuk berubah". Hal ini adalah suatu realiti yang berlaku dalam masyarakat khususnya mahasiswa.

Perubahan harus berlaku dalam kehidupan mahasiswa kini. Mahasiswa tidak seharusnya berfikir di takuk yang lama. Mereka tidak seharusnya menjadi golongan yang hanya mengikut bahkan merekalah yang seharusnya memimpin. Mahasiswa perlu 'gah' seiring dengan gelarannya. Justeru mahasiswa sepatutnya peka dalam segenap isu yang berlaku di peringkat kampus dan juga masyarakat.

Jika dilihat, saban hari, makin banyak isu 'panas' yang berlaku dalam masyarakat yang berhajatkan mahasiswa cakna dengannya. Apatah lagi, isu yang dibangkitkan tidak kiralah soal pendidikan, ekonomi, politik atau agama sekalipun mereka harus peka dan ambil tahu kesemua isu yang diperbahaskan. Golongan yang memimpin harus faham dan jelas berkenaan dengan isu-isu sebegini.

Negara ini memerlukan kepimpinan pewaris yang mantap dalam membina negara mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam. Kepimpinan secara Islam seharusnya menjadi teras dan entiti dalam setiap kepimpinan mahasiswa di kampus. Hal yang demikian demi melahirkan mahasiswa yang matang daya fikir, bijak mengatur strategi serta fikrah yang jelas untuk memimpin negara suatu masa nanti. Merekalah golongan yang dinanti-nanti untuk merubah landskap pemerintahan negara.

Bagi mahasiswa di USIM khususnya, kuasa perubahan Al-Fateh telah meledak dengan jayanya. Buktinya dengan kehadiran mahasiswa-mahasiswi USIM yang cukup ramai tanda sokongan perubahan anda pada diri sendiri pada malam tersebut. Suatu momentum yang cukup besar sebenarnya telah diberikan daripada anda. Harapannya semoga keadaan yang positif ini akan terus berlaku demi menjayakan agenda perubahan. Demi perubahan, tekadkan niat bahawa Aku Ingin Berubah!


Tuesday, January 5, 2010

Native Deen Sebar Mesej Dakwah

Alhamdulillah. Bersua lagi kita di tahun baru. Belum terlewat rasanya untuk ana ucapkan selamat tahun baru, Maal Hijrah 1431 bersamaan 2010 Masihi. Syukur masih dipanjangkan usia hingga ke saat ini.

Seusai pulang dari kampus tengah hari tadi, telinga ini menangkap suatu muzik rancak seakan hip hop dari tingkat atas. Ditambah pula dengan speaker altec lansing yang dipasang menambahkan lagi kesan bunyinya. Rancak! Itu yang dapat kukatakan.

Teliti punya teliti, rupanya muzik tadi merupakan sebuah lagu nasyid dari Native Deen. Kenalkah sahabat pada kumpulan ini? Mungkin kepada peminat nasyid tempatan kita selalu dihiburkan dengan kumpulan inteam, Hijjaz, Raihan dan banyak lagi kumpulan nasyid yang makin tumbuh seakan cendawan tumbuh selepas hujan saat ini. Tapi bagi masyarakat muslim Amerika, inilah dia hiburan alternatif mereka.



Irama nasyid Native Deen telah pun menjadi halwa telinga bagi masyarakat muslim di Amerika. Kumpulan ini yang dianggotai ol
eh tiga orang anak muda, Joshua Salaam, Naeem Muhammad dan Abdul Malik Ahmad sering dijemput untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah mereka melalui nasyid yang didendangkan.

Genre muzik mereka adalah hip-hop dengan disertai lirik-lirik yang menyentuh kehidupan seorang yang bergelar muslim di Amerika yang sering berdepan cabaran yang pelbagai dalam kehidupan mereka. Umum sedia maklum, keperitan menjaga iman dalam kalangan komuniti yang rata-ratanya bukan Islam. Satu mesej yang amat besar sebenarnya telah dibawakan oleh kumpulan ini.



Lagu Intention dan Paradise adalah antara lagu popular yang sebenarnya membawa mesej Islam untuk dihayati bersama. Mulanya agak kurang jelas apa yang disebutkan oleh penyanyi kumpulan ini mungkin faktor sebutan Inggeris ala Amerika yang agak berlainan. Tapi bila diamati, benar! Ada sesuatu yang sememangnya nasihat dan mesej yang berguna yang bertepatan dengan hadis nabi dibawakan.

Umpamanya, mengambil contoh dari lagu Small Deeds yang mengajak para pendengar dan masyarakat muslim supaya menghayati amalan yang baik walaupun amalan itu dipandang ringan dan kecil di mata manusia namun besar di sisiNya. Sebagai contoh, membuang duri atau apa sahaja yang menghalang laluan di jalanan dikira sedekah.

"Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya, dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah Mengampunkannya" [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].

Sememangnya semangat dakwah yang ditunjukkan oleh Native Deen melalui lagunya amatlah dikagumi. Moga kumpulan ini terus ikhlas dan istiqamah dalam menyampaikan mesej yang amat baik ini. Walau disampai dalam bentuk hip-hop namun mesejnya jelas ke arah mengembalikan generasi muda Islam ke landasanNya. Hiburan nasyid mendidik jiwa!