Saturday, January 16, 2010

Mahasiswa Perlu Berubah!

Berubah. Sana sini orang bicara soal perubahan. Mahasiswa perlu berubah. Berubah dari sudut mentaliti, cara fikir dan keilmuan. Tapi jangan pula berubah sehingga soal prinsip digadaikan. Prinsip harus tetap (thabat) tanpa kompromi. Perihal perubahan ini merupakan suatu yang sukar. Memetik kata Ustaz Hasrizal, "ada sesuatu yang lebih susah daripada susah, iaitu berubah. Sehingga ada orang yang lebih selesa untuk hidup susah tanpa membuat tindakan untuk berubah". Hal ini adalah suatu realiti yang berlaku dalam masyarakat khususnya mahasiswa.

Perubahan harus berlaku dalam kehidupan mahasiswa kini. Mahasiswa tidak seharusnya berfikir di takuk yang lama. Mereka tidak seharusnya menjadi golongan yang hanya mengikut bahkan merekalah yang seharusnya memimpin. Mahasiswa perlu 'gah' seiring dengan gelarannya. Justeru mahasiswa sepatutnya peka dalam segenap isu yang berlaku di peringkat kampus dan juga masyarakat.

Jika dilihat, saban hari, makin banyak isu 'panas' yang berlaku dalam masyarakat yang berhajatkan mahasiswa cakna dengannya. Apatah lagi, isu yang dibangkitkan tidak kiralah soal pendidikan, ekonomi, politik atau agama sekalipun mereka harus peka dan ambil tahu kesemua isu yang diperbahaskan. Golongan yang memimpin harus faham dan jelas berkenaan dengan isu-isu sebegini.

Negara ini memerlukan kepimpinan pewaris yang mantap dalam membina negara mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam. Kepimpinan secara Islam seharusnya menjadi teras dan entiti dalam setiap kepimpinan mahasiswa di kampus. Hal yang demikian demi melahirkan mahasiswa yang matang daya fikir, bijak mengatur strategi serta fikrah yang jelas untuk memimpin negara suatu masa nanti. Merekalah golongan yang dinanti-nanti untuk merubah landskap pemerintahan negara.

Bagi mahasiswa di USIM khususnya, kuasa perubahan Al-Fateh telah meledak dengan jayanya. Buktinya dengan kehadiran mahasiswa-mahasiswi USIM yang cukup ramai tanda sokongan perubahan anda pada diri sendiri pada malam tersebut. Suatu momentum yang cukup besar sebenarnya telah diberikan daripada anda. Harapannya semoga keadaan yang positif ini akan terus berlaku demi menjayakan agenda perubahan. Demi perubahan, tekadkan niat bahawa Aku Ingin Berubah!


No comments:

Post a Comment