Wednesday, December 9, 2009

Ujian Kehidupan

Ujian. Manusia tak akan terlepas daripada ujian. Ujian menguji kesabaran. Ujian menguji tahap keimanan. Ujian menguji keikhlasan seorang hamba kepada TuhanNya. Ujian adalah fitrah dan asam garam yang perlu ditempuhi oleh setiap insan dalam kehidupan. Hatta nabi sekalipun tak terlepas daripada ujian. Apatah lagi kita manusia.

Jika diteliti serta amati, benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta."-surah Al-Ankabut: 2-3.

Iman memerlukan suatu bentuk kebuktian. Sebagaimana seseorang yang terlalu cinta akan kekasihnya sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk membuktikan kecintaannya maka begitu juga halnya iman. Iman berhajat kepada tiga perkara. Mengaku beriman dengan lisan, membenarkan keimanan yang benar-benar ikhlas dalam hati serta perlu dibuktikan dengan perbuatan. Sempurnakan ketiga-tiga perkara ini maka sempurnalah keimanan.

Dalam menyelusuri kehidupan ini, kita sering dihujani dengan pelbagai masalah. Ada dalam kalangan manusia yang sering merungut akan nasib kehidupan mereka. Adakah Tuhan tidak adil menimpakan musibah dan ujian kepada kita? Di mana sifat pengasihnya Allah jika Dia sanggup menimpakan ujian sedemikian rupa? Jangan salah anggap pada TuhanMu.

Ketahuilah bahawa Allah Maha Adil. Keadilan Allah melebihi daripada keadilan manusia. Tidak ditimpa suatu musibah atau pun ujian kepada hambanNya tanpa sebarang sebab. Wahai insan, kamu terlalu gopoh. Cepat sungguh bersangka buruk pada TuhanMu. Cubalah lapangkan dada serta luangkan masa untuk koreksi dirimu. Kamu telah leka dariNya. Kembali melihat bagaiman a keadaan solatmu. Apakah dah sempurna semuanya? Ataukah dirimu masih ber'tuhankan' dunia saat takbir dilaungkan? Bagaimana pula dengan muamalatmu dengan sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat sepermainan. Apakah ada antara mereka yang kau sakiti hatinya? Tanyalah dirimu wahai insan!

Ujian tak kan hadir tanpa sebab. Ujian adalah bukti kasih sayang Allah kepada kita. Kembalilah mengingatiNya bagi mereka yang lupa. Allah sedang merinduimu. Allah sedang berbicara denganmu. Merintihlah. Menangislah. Tagihlah cintaNya serta kasih sayangNya sepenuh hati dan jiwamu. Lapangkanlah dada menerima ujian Tuhan kerna pasti di situ ada hikmah di sebalik tiap kejadian.

Firman Allah mafhumnya, "Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya )kekurangan dari harta benda dan jiwa seta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."


Tuesday, December 8, 2009

Murtad : Jangan Dipandang Sepi

Alhamdulillah. Dapat lagi menghirup nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Dua nikmat yang cukup besar dianugerahkan Allah kepada kita. Di kala ada dalam kalangan manusia saat ini masih lagi tercari-cari siapa pencipta mereka, kita terlebih dulu mengecapi nikmat Iman dan Islam. Alhamdulillah, syukur. Moga Allah memandu jalan bagi mereka yang mencariNya.

Mendengar kuliah Maghrib pada malam ini cukup menggusarkan hatiku. Antara lain pengisiannya adalah berkenaan gejala murtad dalam kalangan remaja pada masa kini. Pendedahan demi pendedahan yang dibongkarkan oleh ustaz amat megejutkan para pendengar. Apa tidaknya saban tahun demi tahun gejala keluar agama ini bukan makin berkurangan bahkan kian meningkat.

Lebih mengejutkan kita adalah mereka yang mutad bukan daripada kalangan orang yang tak tahu perihal solat, pahala dan dosa, syurga mahupun neraka tetapi daripada mereka yang celik agama. Lahirnya Islam. Dibesarkan dalam suasana Islam. Ibu bapanya orang yang faham Islam. Namun sampai satu ketika boleh terpacul di bibir mereka untuk keluar daripada Islam. Nau'zubillah.

Sedih mengenangkan apa yang berlaku kepada para remaja kita pada hari ini. Golongan mahasiswa khususnya. Mereka adalah sasaran utama para missionary Kristian. Modus operandinya sangat mudah. Jerat mereka adalah cinta. Cinta merubah segala-galanya. Demi cinta sanggup digadaikan maruah dan agama. Demi cinta sanggup berpisah keluarga. Justeru, para mahasiswa sekalian, berhati-hati dengan jerat cinta dengan mereka yang bukan Islam ini.

Hakikatnya gerakan missionary Kristian ini telah lama berjalan. Samada kita sedar ataupun tidak mereka akan terus berusaha untuk menyesatkan anak muda Islam khususnya. Ya, mungkin dalam kalangan kita ada yang berkata tak mungkin aku atau sanak saudaraku boleh terjebak dalam kes sebegini. Tak perlu khuatir. Soalnya, siapa yang boleh jamin? Mungkin hari ini tiada kes murtad berlaku di tempat kita tapi esok lusa macam mana. Ingatlah firman Allah yang bemaksud, "tidak akan redha orang Yahudi dan Nasrani ke atas kamu sehingga kamu mengikuti ajaran mereka".

Justeru, betapa pentingnya kita bersyukur atas nikmat Iman dan Islam yang kita kecapi selama ini. Sedarlah berapa ramai manusia yang masih lagi mencari-cari Tuhan mereka. Peliharalah Islammu sebaiknya. Jangan biarkan seorang pun daripada kita terjerat dengan rancangan musuh Islam ini. Dan ingatlah tatkala Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam"-mafhum ayat 132 surah Al-Baqarah.

Monday, December 7, 2009

Nota Kepada Diri

Alhamdulillah. Kupanjat kesyukuran ke hadrat Allah Taala atas nikmat kelapangan masa serta kekuatan dariNya maka terbitlah laman 'Nota Kepada Diri' ini. Nama yang dipinjam daripada salah sebuah karya ulama tersohor Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini membawa mesej dan identiti tersendiri.

Semuanya bertitik tolak daripada pembacaan aku terhadap karya tersebut yang memberi impak yang besar pada diriku. Satu nukilan yang walaupun agak ringkas namun mampu menyentuh jiwa dan nurani bagi mereka yang sedar akan hakikat kehidupan yang sementara cuma. Allah Maha Adil kerana di penghujung kisah kehidupan tiap diri akan ditanya dan disoal terhadap apa yang dilakukan sewaktu di dunia.

Justeru, di sepanjang perjalanan kehidupan manusia sudah dan sering diberi peringatan akan nikmat, azab, pahala dan dosa, balasan baik dan buruk, syurga dan neraka. Semuanya bergantung kepada manusia itu sendiri untuk mengambil pengajaran serta ingatan moga menjadi nota kepada diri masing-masing supaya berhati-hati dalam setiap tindakan dan perilaku mereka semasa di dunia.

Demikianlah sedikit intisari ringkas yang dapat kukongsi bersama sahabat-sahabat sekalian. mengenai buku tersebut. Ingatlah bahawasanya perjalanan kehidupan kita hakikatnya sementara cuma. Ambillah seberapa banyak pedoman dan iktibar daripada kisah-kisah para anbiya' terdahulu sebagai ikutan. Banyak sebenarnya kisah dalam Al-Quran dan hadis yang sepatutnya menjadi nota kepada diri kita. Kembalilah kepada kedua-dua sumber ini sebagai ikutan kita bersama.



Sunday, December 6, 2009

Ahlan Wasahlan

Ahlan wasahlan kepada para pengunjung sekalian. Semoga kedatangan kalian dapat menyemarakkan lagi dunia maya ini. Marilah sama-sama kita memanfaatkan medium yang ada ini untuk tujuan dakwah dan tazkiyah. Mudah-mudahan dengan usaha yang kecil ini mampu memberi impak yang besar kepada ummah. Salam perjuangan!