Monday, December 7, 2009

Nota Kepada Diri

Alhamdulillah. Kupanjat kesyukuran ke hadrat Allah Taala atas nikmat kelapangan masa serta kekuatan dariNya maka terbitlah laman 'Nota Kepada Diri' ini. Nama yang dipinjam daripada salah sebuah karya ulama tersohor Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini membawa mesej dan identiti tersendiri.

Semuanya bertitik tolak daripada pembacaan aku terhadap karya tersebut yang memberi impak yang besar pada diriku. Satu nukilan yang walaupun agak ringkas namun mampu menyentuh jiwa dan nurani bagi mereka yang sedar akan hakikat kehidupan yang sementara cuma. Allah Maha Adil kerana di penghujung kisah kehidupan tiap diri akan ditanya dan disoal terhadap apa yang dilakukan sewaktu di dunia.

Justeru, di sepanjang perjalanan kehidupan manusia sudah dan sering diberi peringatan akan nikmat, azab, pahala dan dosa, balasan baik dan buruk, syurga dan neraka. Semuanya bergantung kepada manusia itu sendiri untuk mengambil pengajaran serta ingatan moga menjadi nota kepada diri masing-masing supaya berhati-hati dalam setiap tindakan dan perilaku mereka semasa di dunia.

Demikianlah sedikit intisari ringkas yang dapat kukongsi bersama sahabat-sahabat sekalian. mengenai buku tersebut. Ingatlah bahawasanya perjalanan kehidupan kita hakikatnya sementara cuma. Ambillah seberapa banyak pedoman dan iktibar daripada kisah-kisah para anbiya' terdahulu sebagai ikutan. Banyak sebenarnya kisah dalam Al-Quran dan hadis yang sepatutnya menjadi nota kepada diri kita. Kembalilah kepada kedua-dua sumber ini sebagai ikutan kita bersama.



No comments:

Post a Comment