Wednesday, December 9, 2009

Ujian Kehidupan

Ujian. Manusia tak akan terlepas daripada ujian. Ujian menguji kesabaran. Ujian menguji tahap keimanan. Ujian menguji keikhlasan seorang hamba kepada TuhanNya. Ujian adalah fitrah dan asam garam yang perlu ditempuhi oleh setiap insan dalam kehidupan. Hatta nabi sekalipun tak terlepas daripada ujian. Apatah lagi kita manusia.

Jika diteliti serta amati, benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, "apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta."-surah Al-Ankabut: 2-3.

Iman memerlukan suatu bentuk kebuktian. Sebagaimana seseorang yang terlalu cinta akan kekasihnya sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk membuktikan kecintaannya maka begitu juga halnya iman. Iman berhajat kepada tiga perkara. Mengaku beriman dengan lisan, membenarkan keimanan yang benar-benar ikhlas dalam hati serta perlu dibuktikan dengan perbuatan. Sempurnakan ketiga-tiga perkara ini maka sempurnalah keimanan.

Dalam menyelusuri kehidupan ini, kita sering dihujani dengan pelbagai masalah. Ada dalam kalangan manusia yang sering merungut akan nasib kehidupan mereka. Adakah Tuhan tidak adil menimpakan musibah dan ujian kepada kita? Di mana sifat pengasihnya Allah jika Dia sanggup menimpakan ujian sedemikian rupa? Jangan salah anggap pada TuhanMu.

Ketahuilah bahawa Allah Maha Adil. Keadilan Allah melebihi daripada keadilan manusia. Tidak ditimpa suatu musibah atau pun ujian kepada hambanNya tanpa sebarang sebab. Wahai insan, kamu terlalu gopoh. Cepat sungguh bersangka buruk pada TuhanMu. Cubalah lapangkan dada serta luangkan masa untuk koreksi dirimu. Kamu telah leka dariNya. Kembali melihat bagaiman a keadaan solatmu. Apakah dah sempurna semuanya? Ataukah dirimu masih ber'tuhankan' dunia saat takbir dilaungkan? Bagaimana pula dengan muamalatmu dengan sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat sepermainan. Apakah ada antara mereka yang kau sakiti hatinya? Tanyalah dirimu wahai insan!

Ujian tak kan hadir tanpa sebab. Ujian adalah bukti kasih sayang Allah kepada kita. Kembalilah mengingatiNya bagi mereka yang lupa. Allah sedang merinduimu. Allah sedang berbicara denganmu. Merintihlah. Menangislah. Tagihlah cintaNya serta kasih sayangNya sepenuh hati dan jiwamu. Lapangkanlah dada menerima ujian Tuhan kerna pasti di situ ada hikmah di sebalik tiap kejadian.

Firman Allah mafhumnya, "Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya )kekurangan dari harta benda dan jiwa seta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."


No comments:

Post a Comment